Assalaamualaikum wbt,
AlhamduliLLAHi nahmaduhu wa nasta'inuhu wa nastaghfiruhu wanu'minubihi wa natawakkalu 'alaih, Wa na'uzubiLLAHi min shururi anfusina wa min sayyi'aati a'amalina, Man yahdihiLLAHu fala mudhillalahu, wa man yudlilhu fala haadiyalah.
Setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadhrat Allah kerana diberikan peluang kepada saya untuk mencoretkan sesuatu diruangan ini.
Bagi pihak diri saya dan AJK yang baru dilantik kami ingin merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang terdahulu dari kami yang telah mengasaskan persatuan ini untuk manaffat kita semua AhlulBayt negeri Terengganu. Terimakasih juga ditujukan kepada AJK yang terdahulu yang telah mengurus-tadbir persatuan ini sehinggalah diberi kepercayaan pula kepada kami untuk mengurus-tadbirnya.
Kepada semua ahli Persatuan kami merakamkan ucapan terima kasih atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada kami. Kami bukanlah yang terbaik dari kalangan semua, namun InsyaAllah kami akan berusaha untuk menyempurnakan amanah yang diberi sebaik mungkin. Yang buruk minta ditegur, yang baik minta disokong. Sebagaimana kata-kata Saidina Abu Bakar As-Siddiq ketika dilantik menjadi Khalifah Islam yang pertama:
"Wahai manusia, telah kamu memilih saya sebagai pemimpin di atas kamu dan bukan lah aku terbaik dari kalangan kamu, sekiranya aku baik, maka bersamalah dengan ku. Sekiranya aku melakukan kejahatan, maka perbetulkan lah aku. Menyata yang benar itu adalah amanah, dan pembohongan itu adalah khianat…"
Besarlah harapan kami agar semua ahli dapat bersatu-padu, bekerjasama serta memberi sepenuh sokongan dalam membangunkan persatuan ini demi kebaikan bersama. Biarlah berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicicah.
Sempena kedatangan Ramadhan Al Mubarak, saya mewakili semua AJK mengucapkan SELAMAT BERPUASA dan berebut-rebutlah mengambil peluang beribadat semaksima mungkin atas ganjaran yang digandakan pada bulan ini.
Wassalaamualaikum wbt.
ayah Ku Mad pemimpin terbaik
BalasPadam