KUALA TERENGGANU, 22 Ogos (Bernama) -- Persatuan Al-Amin Negeri Terengganu, yang mewakili keturunan Syed, menyambut baik langkah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melarang pemakaian gelaran keturunan pada pangkal nama dengan sesuka hati oleh mana-mana pihak tanpa mengikut peraturan yang ditetapkan JPN.
Yang Dipertua persatuan itu Engku Mohd Afandi Engku Dalam Ahmad berkata pihaknya menyokong penuh langkah yang ditetapkan JPN itu kerana terdapat kes pemakaian gelaran keturunan dibuat sesuka hati di negeri ini.
"Di Terengganu ada dua persatuan yang memperjuangkan keturunan Syed iaitu Persatuan Al-Amin Negeri Terengganu dan Persatuan Asyraf Cawangan Terengganu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu.
Semalam, Ketua Pengarah JPN Datuk Jariah Mohd Said berkata pemakaian gelaran keturunan pada pangkal nama tidak boleh dibuat sesuka hati oleh mana-mana pihak, sebaliknya perlu mengikut peraturan yang ditetapkan JPN dan persatuan berkaitan.
Engku Mohd Afandi berkata di Terengganu terdapat kes pamakaian gelaran Syed atau Syarifah pada pangkal nama anak-anak yang tidak layak dan sehubungan itu beliau meminta jasa baik JPN mengambil tindakan pemakaian gelaran itu ditarik balik.
"Penarikan balik nama gelaran berkenaan kepada mereka yang tidak layak penting supaya ia tidak menimbulkan salah faham tentang keturunan di kemudian hari," katanya.
-- BERNAMA
Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=689196
0 ulasan:
Catat Ulasan