Masjid Kampung Tokku |
Bangunan Masjid Kampung Tok Ku terletak kira-kira 0.5 (½) kilometer dari Pekan Cabang Tiga dan kira-kira 3 kilometer sahaja dari Bandar Kuala Terengganu. Asalnya adalah sebuah surau yang diasaskan oleh Syed Muhammad bin Zainal Abidin Al Idrus atau dikenali ketika itu dengan panggilan ‘ Tok Ku Tuan Besar’.
Dari semasa ke semasa bangunan ini diperbesarkan menjadi masjid, iaitu dibina dari bahan-bahan kayu dan batubata yang diambil dari Sungai Losong secara gotong royong oleh penduduk-penduduk tempatan, termasuk binaan sebuah menara dari bahan-bahan bata tanah liat bersimenkan putih telur yang akhirkan disimenkan sebagaimana bentuknya yang ada sekarang ini. Adalah dijangkakan, pengubahsuaian surau ini bermula selepas tahun 1800 masehi secara berperingkat-peringkat.
Sehinggalah sekarang,ahli jemaah masjid ini selain daripada penduduk kampung Tok Ku ialah penduduk-penduduk kampung-kampung berdekatan iaitu kampung Tok Kaya, Maqam Lama, Kubang Buyung, Seberang Baruh, Padang Hiliran , Simpang Tok Ku serta kampung-kampung kecil lainya, termasuk Kampung Pak Bang, Kampung Che Long, Titian Hangus dan lain-lain. Kira-kira 800 jemaah tetap setiap minggu.
Latar Belakang Pengasas Masjid Tokku
Pengasasnya, Syed Muhammad bin Zainal Abidin Al Idrus atau terkenal dengan nama ‘ Tok Ku Tuan Besar’ lahir di Kampung Cabang Tiga (Kampung Tok Ku sekarang) pada tahun 1211 Hijrah iaitu sehari selepas kewafatan(kematian)bapanya.
Ayahnda Tok Ku Tuan Besar, Syed Zainal Abidin adalah seorang keturunan Syed yang datang dari Tarem Hadramaut melalui Jawa (Indonesia sekarang) dan di katakan menantu kepada Syed Mohammad bin Ahmad Al Idrus (Tok Ku Maqam Lama) yang pusaranya sekarang berada di Kampung Maqam Lama.
Nama Masjid Tokku
Sebagaimana yang dicatatkan, nama Tok Ku Tuan Besar semakin masyhur namanya dan diseluruh negeri ini, serta negeri-negeri tetangga seperti Kelantan dan Pahang, sebutan nama surau atau Masjid Kampung Cabang Tiga serta Kampungnya disebut nama Masjid Tok Ku atau Kampung Tok Ku sempena nama ‘ Tok Ku Tuan Besar’.
Nama Tok Ku Tuan Besar semakin dikenali apabila allahyarham tersebut mendalami pelajaran agamanya dengan seorang ulama terkenal ketika iaitu Tok Sheikh Kadir Bukit Bayas dari Patani, yang juga sepupu kepada Sheikh Duyong dan selanjutnya allahyarham menuntut dan mendalami ilmu di tanah suci Mekah iaitu mendalami ilmu Feqah, Hadith, Tafsir, Tauhid dan Tasawwuf.
Apabila kembali dari Mekah, Tok Ku Tuan Besar terus mengajar di surau atau masjidnya itu (Masjid Tok Ku) dan bangunan lamanya sedikit-demi sedikit diperbaiki dengan sumbangan derma orang ramai.
Bangunan Lama
Bangunan lama masjid ini diperbuat daripada kayu dan batu bata dan diikat dengan simen yang menggunakan campuran bahan-bahan daripada putih telur. Tidak dapat dianggarkan peruntukkan atau perbelanjaannya kerana dibuat secara gotong royong iaitu bahan-bahannya juga adalah dari sumbangan orang ramai. Pasir dan batu-batu kelikir diambil dari sungai Losong kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan masjid tersebut.
Ada cerita lisan dari orang tua-tua dahulu bahawa ada ketikanya batu dan pasir bertimbun-timbun berada di hadapan masjid tersebut apabila menjelang Subuh tanpa diangkut oleh sesiapa, dan mengikut cerita, misteri tersebut adalah dari kerja ‘Jin Islam’ yang sama-sama membantu secara ‘ghaib’ membina masjid tersebut, samada benar atau sebaliknya cerita ini, Wallahu ‘alam.
Selain daripada sebuah ‘balai’ dibahagian belakang masjid itu, terdapat sebuah menara di bahagian hadapannya, menara ini pada mulanya diperbuat daripada batu bata sahaja, tapi sekarang sudah disimenkan di bahagian luarnya. Di bahagian dalamnya mempunyai tangga batu berkeliling sehingga kemuncaknya. Sebelum ada sistem pembesar suara, tangga itulah digunakan untuk naik memperdengarkan ‘azan’ dan ‘Tarahim’.
Semasa pemerintahan Baginda Sultan Omar disekitar tahun Masehi 1839 – 1876, Tok Ku Tuan Besar sangat rapat dengan baginda dan dianugerahkan gelaran ‘Paduka Raja Indera’ dan disebut juga Sheikhul Ulama ketika itu.
Kegemilangan Kampung Tokku dan Masjidnya
Mengikut catatan Muhammad Abu Bakar dalam tulisannya dalam buku ‘Islam Di Malaysia’ terbitan ‘Persatuan Sejarah Di Malaysia’ (mukasurat 34) menyebut bahawa Cabang Tiga (Kampung Tok Ku Sekarang) adalah menjadi ibu negeri di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin 1, sebelum pindah ke Bukit Keledang (abad ke 18).
Mengikut cerita lisan orang-orang tua, di kampung ini juga terdapat mahkamah dan penjara -menghukum pesalah-pesalah ringan seperti pencuri dan seumpamanya di bawah kuasa Tok Ku Tuan Besar dan keluarganya, serta ditempatkan polis (ketika itu disebut budak raja). Masjid Tok Ku terus menjadi gedung dan sumber keilmuan agama yang diajar oleh Tok Ku Tuan Besar dan terus masyhur di seluruh tempat.
Kewafatan (kematian) Tokku Tuan Besar
Tok Ku Tuan Besar wafat pada malam Isnin 17 Muharram 1295 Hijrah bersamaan 1878 Masehi ketika umurnya 84 tahun dan di maqamkan di belakang Masjid Tok Ku.
Setelah meninggal dunia, masjid tersebut terus dihidupkan oleh beberapa orang anak cucunya dan diimami oleh anak cucunya, dan yang paling lama, iaitu antara tahun 1935 sehingga tahun 1993 itu 58 tahun ialah cucunya Allahyarham Tuan Hitam (Syed Saggaf) bin Tuan Sayyid (Syed Ahmad) yang meninggal dunia pada 24 Oktober 1993 (Al Fatihah).
Dalam tempoh inilah (1935 – 1993) masjid tersebut diubahsuai bangunannya berperingkat-peringkat, yang pada mulanya kerajaan hanya memperuntukan RM 10,000.00 sahaja, tetapi dengan sumbangan orang ramai masjid tersebut terbina dengan megah dan indahnya seperti sekarang.
Pada akhir tahun lima puluhan, Baginda Al Marhum Sultan Ismail Nasruddin Shah telah meletakkan batu asas bangunan baru yang diperuntukan RM 10,000.00 oleh kerajaan negeri, dengan usaha Pengerusi Jawatankuasa pembinaanya ketika itu, Allahyarham Dato’ Haji Engku Muhsein Abdul Kadir dengan usahasama beberapa orang jawatankuasa lainya, antaranya ialah Allahyarham cucu-cucu Tok Ku Tuan Besar, iaitu Tuan Hitam (Imam), Tuan Dalam, Engku Wook Abdul Kadir, Engku Embong Abdul Kadir serta lain-lainya termasuk penduduk Kampung Tok Ku seperti Allahyarham Haji Muhamad Abdullah (Mat Nafisah), Tuan Haji Yaakub (India Muslim), Tuan Haji Ibrahim (Al Yunani) dan lain-lain.
Kegiatan / Aktiviti di Masjid Tokku Dahulu dan Sekarang
Pelajaran agama sentiasa diadakan di masjid tersebut pada waktu pagi dan malam. Selain daripada menjemput penceramah-penceramah luar. Semasa Tuan Hitam menjadi Imamnya beliau sendiri mengajar Ilmu Feqah, Hadith, Tafsir dan lain-lain pada setiap pagi Jumaat dengan dihadiri oleh ratusan pendengar (penuntut) termasuk beberapa orang abang-abangnya (cucu Tokku Tuan Besar) seperti Tuan Dalam, Tuan Chik, Tuan Baru, Tuan Sembok (semuanya telah meninggal dunia) serta anak-anak mereka.
Sejak beberapa tahun sebelum meninggal dunia, beliau telah selalu uzur dan digantikan oleh beberapa orang lain pula mengajarnya, termasuk cicit Tokku Tuan Besar iaitu Syed Omar Abdul Kader hinggalah sekarang.
Sepanjang Bulan Ramadhan setiap tahun, kuliah Subuh diberikan oleh guru-guru ugama dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Imam dan Bilal Sekarang
Setelah Tuan Hitam meninggal dunia, imam tetapnya digantikan kepada Syed Abdul Aziz bin Syed Omar Putera dan Syed Ahmad bin Zainal Abidin, kedua-duanya dari zuriat Tokku Tuan Besar, manakala bilalnya, Ali Ibrahim, Haji Abu Bakar dan Ibrahim.
Sebuah jawatankuasa mentadbirkan masjid tersebut telah dilantik/dipilih daripada masyarakat berbagai golongan di kampung itu dipengerusikan oleh Syed Omar (Tuan Pengeran Chik) seorang bekas wakil rakyat (bersara) dan tinggal di Kampung Losong. Beberapa orang jawatankuasanya terdiri daripada keturunan Tokku Tuan Besar termasuk ketua Kampung Tokku, Syed Ahmad Idrus (Tuan Padang) yang juga berpangkat cicit kepada Tokku Tuan Besar, dan cucu kepada Tokku Paloh. Lain-lain cicit kepada Tokku Tuan Besar yang menjadi jawatankuasa masjid itu ialah Tuan Baru (Syed Saggaf), Engku Hitam dan lain-lain.
Keistimewaan Masjid Tokku
Beberapa keistimewaan yang ada di masjid ini menarik pengunjung-pengunjung untuk beribadah dan menenangkan jiwa di dalamnya, diantaranya ialah masjid ini dianggap berkat kerana diasaskan dan dihayati oleh beberapa orang Tokku dan alim ulama semasa yang disegani, apalagi Tokku Tuan Besar ke rahmatuLLAH, anak-anaknya ramai terkenal dan disegani oleh masyarakat, antaranya ialah Syed Mohammad Zainal Abidin (Syed Zain) yang bergelar Engku Syed Seri Perdana, Syed Abdul Rahman Tokku Paloh (lahir di Kampung Tokku,Cabang Tiga, tetapi membuka perkampungan Paloh kemudiannya dan wafat dan dimakamkan di Paloh), Allahyarham ini juga Ahli Mesyuarat Sultan Zainal Abidin ke III.
Selain daripada itu, masjid ini mempunyai sebuah menara yang unik dan bersejarah, bentuknya tidak sama dengan menara yang ada di negeri-negeri lain atau masjid-masjid di negeri ini. Terdapat cerita lisan orang tua-tua dulu pernah berjumpa jin Islam menunggu menara ini di waktu tengah malam atau subuh, benar atau tidaknya – wallahu’alam.
Selain dari itu, masjid ini juga mempunyai sebuah ‘bedok’ besar yang berfungsi sehingga sekarang (1995), digunakan untuk memaklumkan masa waktu sembahyang fardu, tanda bersahur, dan berbuka puasa di bulan Ramadhan. Pada masa dahulu, sebelum ada media massa, bedok ini juga digunakan untuk memberitahu kematian. Rentak paluannya adalah berbeza, antara tanda masuk waktu sembahyang, berita kematian atau paluan jam 11 pagi Jumaat untuk mengingati waktu sembahyang Jumaat akan tiba. Inilah keistimewaan bedok masjid ini yang tidak digunakan lagi di masjid lain.
Persekitaran Masjid Tokku
Kawasan yang luasnya hampir satu ekar ini dilindungi dengan pokok-pokok kelapa dan dulunya banyak pokok bunga yang ditanam oleh Allayarham Tuan Hitam (kini banyak dibuang kerana pembesaran kawasan). Kawasan persekitaran sebelah menyebelah bangunan ini didiami oleh penduduk-penduduk tempatan dan ada jua di bahagian hadapanya terdapat deretan kedai-kedai yang disewa oleh bangsa asing.
Adalah diharapkan semua kegemilangan masjid ini terus agung sepanjang zaman sebagai tempat sumber ilmu pengetahuan dan pusat ibadat umat islam.
Disusun oleh: S.A. Hitam (26.1.1995)
Catatan:
Sumber yang diperolehi bahan-bahan ini adalah daripada cerita lisan orang-orang tua, buku, majalah, risalah dan antaranya:
- Buku Islam Di Malaysia terbitan Persatuan Sejarah Malaysia melalui tulisan Mohd. Abu Bakar dalam catatanya mengenai Syed Abdul Rahman Al-Idrus (Tokku Paloh)
- Buku Mengkaji Sejarah Terengganu – oleh Misbaha.
- Wawancara dengan Dato’ Engku Embong Idrus.
- Lain-lain sumber.
Allahummasolli'ala Saiyyidina Muhammad wa'alaalihiwasohbihiwassallam
BalasPadamSemoga Masjid ini sentiasa diberkati-Nya
Assalam nak bertanya .. ada tak Tuan chik ni berkahwin dgn anak Engku khotib yang bernama wan esah ... dan anak nya bernama tuan embung...mohon penjelasan
BalasPadam