KUALA TERENGGANU: Persatuan Al-Amin Negeri Terengganu hari ini mengecam keras pembikinan serta penyebaran filem menghina keperibadian Nabi Muhammad SAW dan menyifatkan perbuatan provokasi pembuat filem itu menimbulkan ketegangan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.
Setiausahanya, Engku Fadzli Hasan Syed Abdullah berkata, pada masa yang sama, persatuan itu juga menolak sekeras-kerasnya tindakan ganas terhadap pihak tidak bersalah sebagai tindak balas terhadap filem 'Innocence of Muslim' arahan Sam Bacile, 52, dari California, Amerika Syarikat yang disiarkan dalam laman Youtube. "Kami menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan ganas itu kerana Islam tidak membenarkan pembunuhan orang awam yang tidak bersalah".
"Islam itu sendiri membawa maksud perdamaian. Tetapi zaman sekarang umat Islam seolah-olah tidak mencerminkan maksud Islam itu sendiri," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Rabu lalu, Kedutaan Amerika Syarikat di Benghazi, Libya diserang beribu-ribu penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan dipercayai kerana membantah filem itu sehingga menyebabkan Duta Amerika Syarikat, Christopher Stevens dan tiga lagi terbunuh.
Engku Fadzli berkata, masyarakat dunia hendaklah berhenti daripada menyebar klip video filem itu kerana sebarang bentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima.
- BERNAMA
Sumber: http://www.bharian.com.my/articles/PersatuanAl-AminkecamfilemhinaNabiMuhammadSAW/Article/
0 ulasan:
Catat Ulasan